Kanser Testis: Jarang namun ada berlaku

Kanser Testis: Jarang namun ada berlaku

Kanser Testis: Jarang namun ada berlaku

By Island Hospital | Nov 9, 2021 3:07:21 PM

Kanser testis adalah barah pada testis (buah zakar) lelaki yang terletak dalam skrotum; kemaluan yang terletak bawah zakar. Kanser ini sering berlaku dikalangan lelaki berumur dari 15 sehingga 40 tahun di seluruh dunia dan boleh dikatakan kanser jenis ini lebih memberi kesan terhadap lelaki muda berbanding golongan tua. Hal ini berbeza dengan kanser prostat yang sering berlaku dikalangan lelaki berumur.

Tanda-tanda atau gejala biasa adalah seperti berikut:

 

Ketulan atau ketumbuhan pada buah zakar:
Lelaki yang menghidapi kanser testis mungkin akan rasa ketulan atau pertambahan saiz pada mana-mana buah zakar. Kekerasan buah zakar juga akan berbeza apabila disentuh, i.e., salah satu buah zakar lebih besar dan keras berbanding yang lain. Bukan semua ketulan akan menyebabkan ketidakselesaan, namun, perlu ambil perhatian terhadap semua jenis ketulan.

 

Perubahan pada skrotum:
Sesetengah lelaki akan berasa berat atau bengkak, sama ada sakit atau tidak. Cecair juga akan berkumpul dalam skrotum sehingga menyebabkan ianya bengkak dan tidak selesa.

 

Sakit yang berulang-ulang:
Untuk sesetengah kes, ketulan atau bengkak pada skrotum disertai dengan sakit berulang-ulang. Sakit ini akan muncul sekali-sekala dan bukan hanya tertumpu pada skrotum. Sesetengah lelaki akan mengalami sakit pada celah kelangkang atau abdomen yang menunjukkan tanda-tanda kanser testis.

 

Tisu payudara lelaki membesar dan lembut:
Perubahan hormon yang dirangsang oleh kanser testis menyebabkan tisu payudara lelaki semakin besar atau bengkak yang juga dikenali sebagai gynaecomastia. Perasaan bengkak pada dada akan dirasa dari semasa ke semasa.

 

Bengkak pada sebelah kaki atau kedua-duanya:
Apabila ketumbuhan merebak ke nodus limfa dan saluran darah, ia akan menyebabkan gangguan aliran darah pada kawasan tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan darah dan tisu mula beku serta bengkak. Disebabkan lokasi buah zakar berdekatan dengan kaki, ketumbuhan kanser testis yang merebak akan menyebabkan darah beku pada kaki berbanding pada bahagian lain. Bengkak pada kaki adalah tanda-tanda kanser testis yang sudah merebak teruk.

 

*Kanser testis biasanya hanya memberi kesan pada satu buah zakar sahaja; jarang sekali kanser ini berkembang pada kedua-dua buah zakar.

Apabila sel sihat dalam buah zakar mula mutasi dan membahagi tanpa kawalan, kanser testis akan muncul. Walaupun dengan teknologi dan kajian terkini, punca sebenar mutasi sel dan kanser testis masih belum diketahui.

 

Antara faktor biasa yang meningkatkan risiko kanser testis ialah:

 

Buah zakar tidak turun (cryptorchidism):
Buah zakar bayi biasanya akan dihasilkan dan digerakkan ke posisi bawah zakar (kedalam skrotum) sebelum dilahirkan. Sesetengah lelaki dilahirkan dengan satu buah zakar tidak turun (atau dalam kes ganjil, kedua-duanya tidak turun) dan keadaan ini kerap berlaku dikalangan bayi lelaki pramatang. Perkembangan buah zakar memberi kesan kepada lelaki yang mengalami buah zakar tidak turun dan hasilnya; semakin tinggi risiko untuk menghidapi kanser testis.

 

Sindrom Klinefelter:
Perempuan dilahirkan dengan dua kromosom X (XX), manakala lelaki dilahirkan dengan satu kromosom X dan Y (XY). Jika seorang lelaki dilahirkan dengan lebihan kromosom X (XXY), hal ini akan mengakibatkan penyakit genetik yang dikenali sebagai sindrom Kinefelter. Sindrom ini akan menjejaskan pertumbuhan buah zakar dan penghasilan testosteron yang menyebabkan peningkatan risiko kanser testis di kalangan lelaki.

 

Sejarah keluarga:
Jika seseorang lelaki mempunyai ahli keluarga (ibubapa atau adik-beradik) yang menghidapi kanser testis, hal ini bermakna ia mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidapi kanser tersebut.

 

Umur:
Lebih kurang 50% kanser testis berlaku dikalangan remaja dan lelaki muda; biasanya berlaku dikalangan orang yang berumur dari 15 sehingga 35 tahun. Namun, ia juga boleh berlaku disemua peringkat umur terutamanya golongan dalam lingkungan usia 60-an.

 

HIV:
Orang yang menghidapi HIV lebih berisiko tinggi untuk menghidapi ketumbuhan sel germa terutamanya kanser testis.

Ujian diri buah zakar (TSE)
Cara paling muda untuk mengesan perubahan pada buah zakar ialah dengan menjalani ujian diri buah zakar (TSE).

  1. TSE dilakukan selepas mandi kerana otot pada badan dan skrotum anda berada dalam keadaan rehat.
  2. Berdiri di depan cermin dan lihat skrotum anda. Lihat perubahan dari segi saiz buah zakar, bengkak atau perubahan pada kulit.
  3. Normal jika salah satu buah zakar lebih besar saiznya atau lebih rendah tergantung berbanding satu lagi.
  4. Kemudian, sentuh buah zakar. Gunakan satu tangan untuk setiap satu. Rasa dengan ibu jari jika terdapat ketulan atau bengkak.

 

Semakin anda kerap melakukan TSE, semakin selesa dan terbiasa anda dengan struktur buah zakar. Hal ini akan membantu anda mengesan ketulan atau sesuatu yang tidak normal. TSE digalakkan untuk dibuat sekali atau dua kali sebulan selepas mandi dan sambil berdiri didepan cermin.

 

Diagnosis
Sesetengah lelaki tidak pernah mengetahu tentang kanser testis sehinggalah mereka melakukan ujian fizikal dengan doktor dan ada juga yang mengetahuinya semasa melakukan TSE. Ketulan pada buah zakar tidak semestinya kanser testis. Doktor akan menggunakan kaedah berikut untuk membuat diagnosis:

  • Ujian ultrabunyi
  • Ujian darah untuk mengesan penanda ketumbuhan atau kanser dalam darah
  • Imbasan Computerised Tomography (CT)
  • MRI (Magnetic resonance imaging)

 

Kebanyakan kanser boleh sembuh jika dikesan dan dirawat dengan segera. Secara faktanya, kanser testis adalah salah satu jenis kanser yang boleh dirawat dengan berkesan.

Kanser testis paling biasa berlaku adalah ketumbuhan sel germa.

 

Ketumbuhan sel germa terbahagi kepada dua jenis:

  1. Seminoma adalah ketumbuhan yang tumbuh dengan perlahan dan sering terjadi dikalangan lelaki yang menghidapi kanser testis. Seminoma juga terbahagi kepada dua jenis iaitu seminoma klasik dan spermatocytic. Seminoma klasik berlaku disemua jenis peringkat umur manakala spermatocytic biasanya berlaku dikalangan orang berumur dan tidak merebak seteruk ketumbuhan lain.
  2. Bukan seminoma adalah ketumbuhan yang jarang berlaku namun lebih agresif yang merebak dengan cepat dan biasanya berasal daripada lebih satu jenis sel kanser. Bukan seminoma biasa berlaku dikalangan lelaki muda atau kanak-kanak lelaki walaupun ia lebih jarang berlaku berbanding seminoma.

Berita baiknya ialah kanser testis mempunyai peluang tinggi untuk dirawat jika kanser itu dikenalpasti atau tidak merebak diluar kawasan. Rawatan untuk kanser testis seperti berikut sama ada satu rawatan atau digabung bersama:

 

Pembedahan
Rawatan utama untuk kanser testis (tidak kira peringkat berapa) adalah dengan membuang buah zakar melalui pembedahan yang dikenali sebagai radical inguinal orchiectomy. Pakar bedah akan membelah celah kelangkang dan mengeluarkan buah zakar dari tempat pembukaan. Jika perlu, buah zakar tiruan akan dimasukkan sebagai ganti.

 

Untuk sesetengah kes, nodus limfa yang berada disekeliling juga perlu dibuang melalui pembedahan bagi mengurangkan risiko kanser berulang terutamanya jika kanser itu semakin teruk atau semakin merebak diluar kawasan.

 

Terapi radiasi
Terapi radiasi (atau radioterapi) menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi untuk membunuh sel kanser. Ia adalah pilihan rawatan untuk lelaki yang mempunyai kanser testis jenis seminoma dan boleh digunakan untuk membunuh lebihan sel kanser selepas pembedahan untuk membuang buah zakar. Pendedahan kepada radiasi boleh mengurangkan bilangan sperma atau menjejaskan kesuburan dikalangan lelaki; pastikan anda berbincang dengan doktor jika ingin memelihara sperma sebelum melakukan radioterapi.

 

Kemoterapi
Kemoterapi adalah rawatan dimana ubat-ubatan digunakan untuk membunuh sel kanser. Ubatan yang diambil akan melalui keseluruh badan dan menyerang sel kanser yang merebak melepasi ketumbuhan asal. Ketumbuhan sel germa (seminoma dan bukan seminoma) sensitif dengan kemoterapi dan kanser testis boleh dirawat dengan kemoterapi.

 

Untuk sesetengah kes ganjil yang kanser sudah merebak melepasi buah zakar semasa diagnosis, kemoterapi mungkin perlu dilakukan untuk membunuh atau mengurangkan saiz sel kanser sebelum melakukan pembedahan mengeluarkan buah zakar.

 

Sejenis sel germa yang dikenali sebagai teratoma tidak boleh dirawat dengan kemoterapi dan perlu melakukan pembedahan untuk dibuang. Hal ini kerana bukan seminoma sering muncul dengan banyak pada bahagian lain sel kanser menyebabkan seseorang yang mempunyai teratoma perlu melakukan pembedahan dan kemoterapi untuk rawatan kanser yang lebih sesuai.



Index