Kanser Payudara – Gejala, Diagnosis dan Rawatan

Kanser Payudara – Gejala, Diagnosis dan Rawatan

Kanser Payudara – Gejala, Diagnosis dan Rawatan

By Island Hospital | Oct 14, 2021 12:14:42 PM

Kanser payudara ialah kanser yang membentuk pada sel payudara. Kanser jenis ini paling biasa dihidapi diseluruh dunia iaitu terdapat sebanyak 2.26 juta kes baru pada tahun 2020*. Menurut Yayasan Kanser Payudara Malaysia, 1 daripada 19 wanita di negara ini berisiko untuk mendapat kanser payudara.

Berita baiknya ialah pesakit yang menghidapi kanser payudara mempunyai peluang hidup yang tinggi serta bilangan kematian yang disebabkan kanser ini juga semakin menurun. Faktor penyumbangan ini adalah pengesanan awal, pendekatan peribadi untuk merawat dan pemahaman yang baik tentang penyakit ini berdasarkan kajian di seluruh dunia.

Rawatan kanser payudara yang canggih boleh didapati di Island Hospital, Penang, Malaysia. Kami memiliki sekumpulan doktor bedah, ahli perubatan dan radiasi onkologi serta jururawat dan pembantu fizikal pelbagai disiplin yang bersedia membantu menyediakan rawatan peribadi berdasarkan patologi dan perubahan kanser payudara setiap pesakit.

* Fakta kanser menurut sumber WHO https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cancer

Setiap orang akan mengalami gejala berbeza. Ada sesetengah orang menunjukkan gejala awal dan ada juga yang tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala.

 

Namun begitu, terdapat tanda-tanda awal yang anda boleh ambil perhatian seperti:

• Ketulan yang muncul pada kawasan payudara atau bawah ketiak
• Gatal atau kedutan pada kulit payudara
• Bengkak dan ketebalan pada kawasan payudara
• Kemerahan atau kulit menggelupas pada kawasan puting
• Puting masuk ke dalam atau sakit pada kawasan puting
• Keluar lelehan selain susu seperti darah
• Saiz atau bentuk payudara yang berbeza daripada biasa
• Sakit pada mana-mana kawasan payudara

 

Jika anda mengalami tanda-tanda atau gejala luar biasa yang merisaukan anda, segera temui doktor namun anda perlu ambil perhatian bahawa gejala-gejala seperti itu boleh berlaku dengan keadaan lain yang bukan disebabkan kanser.

Tiada payudara yang sama untuk setiap orang.

 

Apa yang normal untuk anda mungkin tidak normal untuk wanita lain. Adalah perkara biasa untuk wanita mengatakan yang payudara mereka seperti ada ketulan atau tidak sama saiz.

 

Faktor lain yang memberi kesan pada rupa payudara adalah kitaran haid, melahirkan anak, penurunan atau pertambahan berat badan dan pengambilan ubat-ubatan. Umur juga adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada perubahan bentuk dan saiz payudara.

Walaupun banyak keadaan lain yang menyebabkan ketulan pada payudara, kanser adalah salah satunya. Kadang-kadang, ketulan pada payudara disebabkan keadaan lain. Dua perkara yang biasa menyebabkan ketulan pada payudara adalah keadaan payudara Fibrocystic dan cyst. Keadaan Fibrocystic boleh membuatkan payudara anda lembut, pedih dan terdapat ketulan. Namun, perubahan itu bukan disebabkan kanser. Cyst adalah kantung kecil berisi cecair yang muncul pada payudara.

Terdapat beberapa jenis kanser payudara. Kebanyakannya berkongsi gejala yang sama.

 

Kanser Saluran ‘Ductal carcinoma in situ’
Kanser jenis ini sering dihidapi dan jenis pelopor yang bermula pada saluran anda. Anda mempunyai kanser pada sel di saluran yang tidak merebak pada tisu lain. Keadaan ini mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala, namun ada yang menunjukkan ketulan pada payudara atau keluar lelehan dari puting.

 

Kanser Lobular ‘Lobular carcinoma in situ’
Ini bukan sejenis kanser tetapi penanda (marker) yang menunjukkan peningkatan risiko kanser payudara masa hadapan. Biasanya tidak bergejala dan hanya didiagnosis semasa biopsi ketulan pada payudara.

 

Kanser payudara invasif
Jenis kanser yang sel kansernya merebak dari tempat bermula ke kawasan tisu sekitar ini dipanggil jenis invasif dan menceroboh. Anda akan dapat lihat ketulan kecil yang keras serta tidak bergerak pada payudara atau bawah ketiak. Ketulan ini tidak sakit dan mungkin ada atau tiada pada bawah kulit. Anda boleh lihat kedua-dua payudara anda kelihatan berbeza dan merasa bengkak atau sakit pada satu-satu kawasan. Kulit anda juga akan rasa sakit dan ruam serta kulit menjadi tebal, merah atau berkedut seperti buah oren.

 

Kanser payudara metastatik
Sejenis kanser payudara yang merebak ke kawasan lain pada badan termasuklah organ. Gejala yang ditunjukkan termasuklah sakit pada tulang, lemah otot, sakit kepala dan loya, sukar bernafas, perubahan pada fungsi otak, perut bengkak, hilang selera makan yang menyebabkan kehilangan berat badan dan kulit serta mata menjadi kuning (jaundis).

 

Kanser payudara Tiga Negatif
Kanser payudara ini dipanggil tiga negatif jika tidak mempunyai reseptor untuk hormon estrogen dan progesteron serta tidak membuat banyak protein HER2. Kanser jenis ini akan tumbuh lebih cepat dan merebak lebih pantas berbanding jenis lain. 10-15% daripada ketumbuhan ini akan menjadi kanser payudara. Gejala untuk kanser ini sama sahaja seperti yang lain.

 

Kanser payudara lelaki
1% daripada kanser payudara berlaku dikalangan lelaki. Oleh itu, golongan lelaki perlu ambil perhatian jika terdapat gejala seperti ketulan atau bahagian kulit tebal pada payudara atau bawah ketiak. Sebarang perubahan pada kulit di payudara atau puting seperti kemerahan, lipatan, bersisik atau lelehan tidak boleh dipandang remeh.

 

Penyakit payudara Paget
Penyakit Paget biasanya berlaku sekali dengan ductal carcinoma. Kulit pada puting dan areola akan menjadi bersisik dan merah. Anda juga akan mengalami pendarahan atau keluar lelehan kuning dari puting yang kelihatan leper atau terbalik. Payudara anda juga akan merasa terbakar dan gatal.

 

Kanser payudara keradangan (IBC)
Kanser payudara keradangan adalah sejenis kanser yang jarang ditemui dan gejalanya sama dengan jangkitan. Payudara akan berasa panas, bengkak dan merah dengan kulit berkedut, tebal atau bercap seperti cap jari. Anda akan dapat lihat puting anda masuk ke dalam dan keluar lelehan yang tidak normal.

Kanser payudara biasanya disedari selepas munculnya gejala namun ramai wanita yang mengalaminya tidak menunjukkan sebarang gejala. Digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kanser payudara secara berkala.

Ujian pengimejan untuk mengesan kanser payudara
Ujian yang berbeza boleh digunakan untuk mencari dan mendiagnos kanser payudara termasuklah Mammogram,Ultrabunyi atau MRI Payudara. Jika doktor anda mengesan sesuatu pada mammogram, atau jika anda mempunyai gejala yang menunjukkan kanser payudara, anda perlu mengambil ujian lain untuk membuat kepastian.

 

Biopsi
Biopsi dilakukan apabila mammogram, ujian pengimejan lain atau pemeriksaan fizikal yang menunjukkan terdapat perubahan pada payudara yang berpotensi menjadi kanser. Biopsi akan dilakukan untuk memastikan kewujudan kanser.

Di Island Hospital, kami mempunyai pasukan yang pakar dalam pelbagai bidang untuk rawatan kanser – seperti doktor bedah dan onkologi perubatan akan bekerjasama dengan ahli radiologi dan patologi untuk mengenalpasti pelan rawatan menyeluruh yang menggabungkan rawatan berbeza untuk merawat pesakit.

 

Untuk kanser payudara, biologi dan perubahan kanser akan memberi kesan terhadap pelan rawatan. Walaupun ada sesetengah ketumbuhan kecil, namun ia membesar dengan pantas. Manakala ada juga ketumbuhan besar, namun membesar dengan perlahan. Rawatan dirancang secara peribadi dan bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap ketumbuhan dan subjenis, status reseptor hormon (ER, PR), status HER2, status nod, penanda genomik, umur pesakit, kesihatan umum, status menopaus dan pilihan pesakit.

Walaupun terdapat rejim standard untuk rawatan kanser payudara, pesakit wanita sebenarnya ada peluang untuk memilih. Dinasihatkan untuk berbincang pilihan yang ada dengan doktor anda. Anda mungkin perlu melakukan kemoterapi, terapi hormon atau terapi bersasar sekali dengan pembedahan atau radiasi. Anda perlu mengambil kira semua risiko dan kelebihan setiap rawatan yang ditawarkan dan kesannya terhadap gaya hidup anda.

Pembedahan
Pilihan ini sesuai untuk kebanyakan kes dengan mengeluarkan ketumbuhan. Operasi ini dipanggil lumpektomi dan mengeluarkan sebahagian daripada payudara yang mempunyai kanser. Ia juga dipanggil pembedahan pulihara payudara.
Untuk mastektomi, doktor bedah akan mengeluarkan keseluruhan payudara.

 

Kemoterapi
Kemoterapi menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser. Anda mengambil ubat seperti pil atau melalui drip IV. Kemoterapi boleh dilakukan selepas pembedahan untuk membunuh sel kanser yang masih ada pada bahagian tubuh yang lain. Doktor akan memberi ubat ini sebelum pembedahan untuk mengecutkan ketumbuhan agar pembedahan boleh dilakukan. Walaupun kemoterapi adalah rawatan yang berkesan, namun ia juga boleh membunuh dan merosakkan sel sihat. Namun begitu, semakin banyak sel sihat dalam badan berbanding sel kanser, badan kita mampu menghasilkan sel sihat baru dan pulih setiap kali melakukan kitaran kemoterapi.

 

Terapi radiasi
Terapi radiasi menggunakan gelombang tenaga yang tinggi untuk membunuh sel kanser. Rawatan ini digunakan jika payudara tidak dibuang sepenuhnya (pembedahan pulihara payudara). Cara ini boleh mengawal kanser yang terlalu besar untuk dibuang.

 

Terapi bersasar
Terapi bersasar merangsang sistem imun anda untuk menghapuskan sel kanser. Ubat-ubatan yang digunakan mensasarkan sel kanser yang mempunyai tahap protein HER2 yang tinggi. T-DM1, atau ado-trastuzumab emtansine (Kadcyla) adalah ubatan yang menggabungkan Herceptin dan ubat kemoterapi emtansine yang menyasarkan sel kanser positif-HER2.

 

Terapi hormon
Terapi hormon menggunakan ubat-ubatan untuk mengelakkan hormon berpusing dalam badan terutamanya estrogen yang menggalakkan pertumbuhan sel kanser payudara. Beberapa jenis terapi ini berfungsi dengan menghentikan ovari dari menghasilkan hormon sama ada dengan pembedahan atau ubat-ubatan.

 

Imunoterapi
Imunoterapi menggunakan sistem imun anda untuk menyerang kanser. Ubat atezolizumab (Tecentriq) dan sacituzumabgovitecan-hziy (Trodelvy) sudah mendapat kelulusan untuk merawat kanser payudara tiga negatif yang sudah merebak.

Kebanyakan rawatan kanser payudara mempunyai kesan sampingan yang akan hilang selepas terapi dihentikan. Ada juga kesan yang muncul kemudian. Kesan sampingan yang biasa berlaku ialah loya, lesu, penurunan atau peningkatan berat badan, tangan bengkak, sakit mulut, keguguran rambut, perubahan kuku dan kulit, kepanasan, sukar untuk mengandung, sukar tidur dan berfikir dengan jelas serta depresi.



Index